Friday, April 16, 2010

Menolak Zina Dengan Mujahadah, Bukan Karamah!

“Saya rasa ustaz berfikiran begini kerana ustaz sendiri tidak kahwin semasa belajar. Maka ustaz tidak faham keperluan berkahwin semasa belajar itu. Ustaz tidak dapat memberi pendapat di sini!” tegas Aliyyah, seorang mahasiswi.

Komennya tajam.

Saya pula, bukanlah berbicara tentang kahwin semasa belajar.

Apa yang saya bincangkan adalah soal kahwin tergesa-gesa tanpa pertimbangan yang lunas.

Tetapi kerangka fikir mahasiswi itu menarik untuk diberi perhatian.

SULUHAN KISAH YUSUF ‘ALAYHI AL-SALAAM

Ia mengingatkan saya kepada kisah Yusuf ‘alayhi al-Salaam mendepani godaan ibu angkatnya,Imra’ah al-’Aziz atau yang lebih dikenali namanya sebagai Zulaikha itu.

Kehebatan Yusuf bermula daripada usia kecilnya lagi.

Seorang ghulam, ‘diculik’ oleh adik beradiknya sendiri dan dihumban ke dalam perigi buta, Yusuf diuji dengan kesusahan pada tahap yang sukar untuk kita gambarkan. Berat sekali tanggungan seorang anak kecil bertahan dalam sepi dan gelita perigi buta, jauh daripada keluarga, hanya bertemankan Allah tempat memaut harapan.

Namun, sabar Yusuf ketika di dalam perigi, tidak sekental sabar Yusuf di Istana Mesir.

Saban waktu cuba digoda oleh wanita bangsawan itu, ibu angkatnya sendiri.

“Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itu pun menutup pintu-pintu serta berkata: “Marilah ke mari, aku bersedia untukmu”. Yusuf menjawab: “Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya; Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya” [Yusuf 12: 23]

Setelah berulang kali berusaha, ‘Zulaikha’ sampai kepada ikhtiar terakhirnya.

Pintu dikunci, rumah tidak berpenghuni, First Lady itu menawarkan diri, “datanglah kepadaku. Aku bersedia untukmu”

Di sinilah kemuncak tarbiyah Allah ke atas insan bernama Yusuf. Ramai manusia lulus ujian kesusahan kerana di dalam kesusahan kita diuji dengan kekurangan pilihan. Terpaksa bersabar kerana itulah satu-satunya jalan untuk bertahan. Demikian sabar Yusuf di dalam telaga.

Tetapi di sini Yusuf diuji dengan peluang. Diuji dengan pilihan. Beliau orang asing. Tiada keluarga, tiada banyak kesan sampingan pilihan jahat yang mahu diambil kesempatan.

Ia mengingatkan saya tentang modus operandi pekerja seks di IPT hari ini. Bekerja sebagai pelayan seks berkelas tinggi, memungkinkan anak muda kita mengaut untung mencecah RM40 ribu sebulan! Tekanan lifestyle, duit PTPTN yang jauh daripada kecukupan, desakan peer pressure, apakah yang boleh menghalang anak-anak muda kita daripada mengambil pilihan itu?

Hanya satu.

Jawapannya IMAN.

“Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); Sesungguhnya Tuhanku telah memeliharaku dengan sebaik-baiknya…”

Itulah jawapan Yusuf.

Aku berlindung kepada Allah. Rabb diriku, Pencipta aku dan Pemilik aku.

Konotasi Rabb itu adalah satu sanggahan kepada Zulaikha bahawa biar pun dia adalah ibu angkat yang memberi makan, hutang budi tidak akan dibalas dengan bayaran yang keji. Engkau tuanku tetapi Allah Tuhanku!

Justeru Yusuf menegaskan bahawa:

“Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya”

MENCARI KAEDAH

Zina itu, di sebalik kekejiannya, adalah kezaliman.

Sudikah dibenarkan orang lain menyetubuhi ibumu? Adik perempuanmu? Anak perempuanmu? Ibu saudaramu?

Ketika engkau berzina, sudah tentu engkau berzina sama ada dengan ibu seseorang, adik perempuan seseorang, anak perempuan seseorang atau ibu saudara seseorang. Jika engkau tidak sanggup membayangkan ibumu disetubuhi lelaki lain, pilihan zinamu adalah satu kezaliman. Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!

Kerasnya persoalan yang berlegar di fikiran ialah, apakah bentuk pendidikan yang diperlukan, untuk membolehkan mahasiswa dan mahasiswi yang hidup di dunia ‘zina lebih mudah daripada nikah’ itu untuk berkata seperti Yusuf? Bagaimanakah ketika dihadap dengan pilihan zina, ketika jauh daripada keluarga, ketika kekejian kelihatannya seperti boleh disembunyikan, tawaran pulangan begitu lumayan, namun akhirnya anak muda kita mempunyai kekuatan untuk berkata, “Sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya!”

Kekuatan untuk berkata TIDAK!

Itu sisi pandang Yusuf.

“Ahh, itu persis seorang Nabi!” mungkin itu tempelak anak muda lagak mahasiswi yang mengecam saya tadi.

“Apa yang Nabi tahu tentang panahan cinta? Dia itu jiwanya jiwa Nabi, bukan seperti engkau dan aku!” apakah itu yang mahu diperkatakannya?

Asal usul Tarzan, barangkali! [source - unknown]

YUSUF JUGA ANAK MUDA SEPERTIMU

“Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir kami) untuk menjauhkan daripada Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya dia itu daripada kalangan hamba-hamba Kami yang dibersihkan daripada segala dosa.” [Yusuf 12: 24]

Allah segera menafikan andaian itu.

Yusuf juga seorang anak muda.

Dia ada keinginan sebagai seorang anak muda. Jika pertimbangannya hanya sekadar kehendak jiwa muda, Yusuf juga bisa cenderung memilih kehendak Imra’ah al-’Aziz. Kehendak ibu angkatnya, wanita bangsawan yang sudah menyerahkan diri.

Allah Subhanahu wa Ta’aala mahu kita kaitkan diri dengan Yusuf.

Dia juga sepertimu wahai anak muda.

Dia bukan Malaikat yang tidak bernafsu. Dia menolak zina bukan dengan Mukjizat atau Karamah!

Dia menolaknya dengan Mujahadah.

Fikirannya sedar tentang kenyataan Allah berkenaan kekejian zina, justeru Yusuf berkata TIDAK.

Kemudian baru Allah tegaskan, semua itu adalah sebahagian daripada urusan Allah melindunginya, bakal seorang Rasul untuk menerima Risalah Tauhid kebenaran. Bukan semua datang dalam keajaiban. Yusuf itu sendiri bermujahadah mengawal diri di ujian pemilihan.

Memilih jalan zina atau memilih jalan TAQWA.

TELADAN YUSUF BUAT DIRI SAYA

Saya juga pernah muda, wahai si anak gadis.

Di usia muda, saya juga terganggu dengan kecantikanmu.

Jiwa saya pernah resah ketika melihat rakan bernikah.

Naluri saya pernah cemburu semasa menimang si comel, cahaya mata kawan bertuah.

Saya juga diasak dengan peluang bernikah.

Namun atas pertimbangan-pertimbangan peribadi, saya memilih untuk tidak bernikah, lalu memanjangkan sedikit lagi tempoh mujahadah.

Saya menghormati, mengasihi, mengagumi dan menyokong sepenuh hati teman yang memilih untuk bernikah.

Namun nikah mereka bukan lempias nafsu. Nikah kenalan-kenalan saya bukan manifestasi lemah jiwa untuk menolak zina. Mereka bernikah dengan wawasan. Mereka berkeluarga dengan perancangan.

Akan tetapi untuk dirimu yang ‘menuduh’ku menangguhkan nikah kerana tidak faham kehendak bernikah, engkau masih terlalu budak untuk menjamah akad.

“Aku Terima Nikahnya” belum lagi masanya untukmu.

Dewasalah!

“Tak tahu apakah erti kepayahan
Tak kenal erti kesusahan
Kerna dibesarkan dalam kemewahan
Belum dialami penderitaan”

- Hidup Berbudi: Lirik oleh Habsah Hasan

"Erti Hidup Pada Memberi"


di ceduk dri blog ust hasrizal

No comments:

Post a Comment